PERKHIDMATAN SMS SEKOLAH KE SELURUH NEGARA




PERKHIDMATAN SMS Sekolah yang dibangunkan oleh MyPressto.Com Sdn Bhd untuk Kementerian Pelajaran (KPM) akan dikembangkan ke semua sekolah di seluruh negara tidak lama lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf memberitahu, pihakkementerian telah bersetuju untuk mengembangkannya fasa demi fasa sehingga semua sekolah dapat menggunakan sistem tersebut.

Pada ketika ini sebanyak 628 sekolah telahpun menggunakannya sistem SMS Sekolah termasuk 88 sekolah rintis bestari, 310 sekolah yang dipilih oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) KPM, 160 sekolah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Daerah (PPD) Kuala Muda/Yan dan 70 lagi di PPD Besut.

``Menjelang hujung tahun ini, dianggarkan 2,000 lagi sekolah akan dapat menggunakannya.

``Menjelang tempoh tiga tahun, semua sekolah termasuk di luar bandar dijangka akan dapat menggunakan sistem ini sepenuhnya,'' kata Abdul Rashid.

BTP akan menentukan sekolah-sekolah yang akan dilatih dengan penggunaan sistem itu serta dimuatkan data murid-muridnya secara berperingkat-peringkat.

``Kadar sekolah yang akan berjaya menggunakan sistem ini bergantung kepada maklumat-maklumat yang dibekalkan oleh pihak sekolah,'' katanya.

Selaras dengan pengembangan tersebut, MyPressto.Com akan meningkatkan keupayaan sistem server untuk melengkapkan sistem agar bersedia dengan kapasiti penggunaan yang akan meningkat.

Menurut Abdul Rashid, pihaknya akan menambah pelaburan dari RM5 juta kepada RM15 juta untuk menampung keperluan peningkatan tersebut.

Berdasarkan rekod, tahap penggunaan sistem tersebut di 628 sekolah sebelum ini adalah sangat menggalakkan.

Perkhidmatan SMS Sekolah turut diguna pakai di sekolah-sekolah luar bandar seperti di PPD Kuala Muda / Yan dan Besut, serta turut dilaksanakan di Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Sistem tersebut boleh dilanggani oleh ibubapa dengan hanya RM3 sebulan, dan hanya ibu bapa yang benar-benar bersetuju dan menandatangani borang pendaftaran akan menggunakannya.

Menurut Abdul Rashid, inisiatif sebenar MyPressto.Com adalah untuk menyokong dan membantu KPM dalam usaha Pembestarian Sekolah.

``Ini adalah satu projek nasional, kami berasa bangga kerana menjadi sebahagian daripadanya.

``Sistem ini bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi juga untuk membantu para ibu bapa mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah,''katanya.

Beliau berharap penggunaan SMS Sekolah juga dapat mengurangkan masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar selain membantu ibu bapa memantau aktiviti anak-anak.

``Dalam kehidupan masa kini, lebih 50 peratus ibu bapa adalah bekerja kedua-duanya, dan tidak cukup masa untuk mengetahui setiap pergerakan mereka.

``SMS Sekolah dapat memainkan sebahagian daripada peranan untuk menyelesaikan masalah berkaitan disiplin,'' katanya.

Beliau juga berharap guru-guru dan pihak sekolah dapat memainkan peranan dan memberikan kerjasama sepenuhnya, agar sistem itu akan menjadi lebih efektif.

 


 

 
 
   

 

 

 


 

 

PUSAT SUMBER PENDIDIKAN NEGERI KELANTAN
Jalan Maktab, 16100 Pengkalan Chepa Kelantan | Tel: 09-7738688, 7738689 Fax: 7736909
Hakcipta Terpelihara © Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kelantan | WebMaster |
| Paparan sesuai 1024x768 |