Dalam ucapan alu-aluan Tuan Pengarah JPN Kelantan
telah mengingatkan para pendidik yang hadir tentang
peranan dan tanggungjawab yang harus dimainkan oleh
semua warga pendidik. Selain dari Plan Pembangunan
Pendidikan Kelantan (3PK) warga pendidik juga diingatkan
tentang tugas pendidik terhadap PIPP yang telah dilancarkan.
Beliau berharap agar pendidik yang hadir akan terus
membawa wadah tersebut demi kepentingan dan kemajuan
negara. Beliau juga menyentuh tentang Program Golden
Holidays dan program Holidays English Language yang
akan berjalan serentak diseluruh negeri Kelantan bermula
pada 16 November ini. Program ini adalah antara salah
satu daripada strategi yang dirancangkan oleh pihak
JPN demi menjana hasil yang terbaik didalam peperiksaan
yang bakal dihadapi oleh murid pada tahun hadapan
(UPSR, PMR, SPM dan STPM). Diakhir ucapan, beliau
merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan
kepada pihak BTPN khususnya kerana telah sudi menyediakan
tempat dan beberapa kemudahan demi untuk menjayakan
program tersebut.
Dalam pertemuan pertama dengan warga pendidik negeri
Kelantan, Y.Bhg Dato’ KPPM telah menekankan
beberapa aspek yang penting untuk pedoman pendidik.,
Antara intipati ucapan beliau ialah, beliau amat menekankan
aspek pembinaan modal insan. Melalui aspek inilah
ianya yang akan menentukan maju mundur sesebuah negara.
PIPP yang telah dilancarkan baru-baru ini amatlah
penting dan perlu dihayati oleh semua pendidik. Semua
pemimpin terutamanya di sekolah perlulah sentiasa
ke depan bagi menjayakan PIPP ini. Bagi beliau, asset
yang utama bagi sesebuah negara ialah modal insan
kelas pertama. Oleh yang demikian Pengetua dan Guru
Besar harus memastikan semua murid akan mendapat pendidikan
yang sepenuhnya semasa mereka berada di bangku sekolah.
Aspek perpaduan juga ditekankan dalam ucapan beliau.
Perpaduan harus sentiasa dijaga dan ianya haruslah
disemai dihati anak-anak didik demi kemakmuran sesebuah
negara. Diakhir ucapan beliau, Dato’ KPPM juga
mengingatkan sekali lagi tentang pemansuhan yuran
sekolah yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri
Malaysia dalam pebentangan budjet 2008. Akhirnya Dato’
KPPM menyeru agar semua pendidik akan terus memainkan
peranan masing-masing kerana tanggungjawab yang dipikul
oleh warga pendidik amatlah besar untuk kemajuan dan
kemakmuran sesebuah negara. Majlis akhirnya disudahi
dengan sesi soaljawab antara pendidik dan Y. Bhg.
Dato’ KPPM